KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Pertandingan Video Pendek Seni Budaya dan Nilai-nilai Murni bermula 1 September lalu.

Ketua pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, antara objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk menanam kesedaran masyarakat terhadap seni budaya dan amalan nilai-nilai murni, menerapkan kefahaman amalan nilai-nilai murni yang merupakan budaya dalam rakyat Malaysia serta mengekalkan satu bangsa yang mempunyai identiti jati diri yang unggul.

 

“Pertandingan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Penghasilan video adalah berkonsepkan sketsa dan menepati lima tema yang dipertandingkan pada setiap bulan. Pertandingan video pendek ini telah pun bermula sejak bulan Mei yang lalu dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Malaysia.

“Kempen dalam memupuk kesedaran mengenai seni budaya dan nilai-nilai murni diteruskan lagi dan telah pun memasuki fasa ke lima di mana pada bulan September tema yang dipertandingkan adalah Sopan Santun. Tempoh penyertaan bermula 1 hingga 30 september 2021 dan tarikh tutup pertandingan pada 1 Oktober 2021. Senarai pemenang akan diumumkan pada bulan Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengangkat tema Sopan Santun, pertandingan itu juga diharap dapat menerapkan masyarakat kita pada hari ini agar lebih bersopan santun dalam kehidupan mereka.

“Contohnya menggunakan bahasa yang sesuai dan lemah lembut. Bukan sahaja melalui pertuturan, tetapi juga melalui tulisan di media sosial,” katanya.

Muat naik video anda ke Google Drive atau wetransfer dan sertakan pautan di Borang Penyertaan dengan mengimbas QR code dalam poster atau layari laman sesawang JKKN http://www.jkkn.gov.my/ms untuk muat turun borang dan syarat penyertaan .

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Festival Seni Hidup@Living Arts Cultural Festival (LACF) yang akan bermula pada 29-31 Oktober 2021.

LACF merupakan festival yang menghimpunkan kesenian yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), dan Warisan Kebangsaan. Ia salah satu platform yang mengetengahkan warisan negara yang hampir pupus dan seterusnya menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.

Sempena penganjuran LACF 2021, JKKN melaksanakan pencungkilan bakat melalui pertandingan yang menjuruskan tiga kategori iaitu Pertandingan Nyanyian Lagu-Lagu P.Ramlee, Cabaran Joget dan Pertandingan Busana Tradisional Malaysia.

Penyertaan dibuka bermula 20 Ogos sehingga 20 September 2021. Manakala pertandingan akhir akan diadakan pada 29 sehingga 31 Oktober 2021. Hadiah wang tunai berjumlah RM23,000.00 bakal menjadi milik pemenang.

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/jkkn-anjur-pertandingan-video-pendek/